KUALA LUMPUR – Ukhwah Infak menghantar memorendum mendesak agar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk menyemak semula hubungan mereka dengan Kongres Uyghur Sedunia (WUC).

Presidennya, Muhammad Ibrahim Hilmy Noor Mohamed Ashley berkata, langkah itu harus dilakukan segera memandangkan WUC jelas menyatakan pendirian bahawa tindakan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lepas adalah sebagai tindakan penganas.

Muhammad Ibrahim Hilmy berkata, kenyataan WUC itu jelas bertentangan dengan pendirian umat Islam seluruh dunia.

“Jika WUC menyatakan apa yang berlaku terhadap masyarakat Uyghur di Xinjang sebagai sebagai suatu penindasan, mengapa mereka tidak lihat isu Palestin-Israel yang berlaku sejak 75 tahun lepas sebagai perkara yang sama?

“Ini jelas sekali WUC mempunyai agenda tersendiri dan bukan ingin memperjuangkan isu kemanusiaan melibatkan umat Islam yang ditindas,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum terbabit di Pejabat ABIM, di sini, baru-baru ini.

WUC mengeluarkan kenyataan mengecam serangan yang didakwa sebagai serangan terhadap orang awam pada 9 Oktober lalu, dua hari selepas serangan mengejut Hamas terhadap Israel.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu ABIM yang menjadi pengerak dalam memperjuangkan isu kemanusiaan umat Islam dunia dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Kami maklum kecaman telah dilakukan ABIM berhubung kenyataan WUC itu, tetapi kecaman sahaja tidak cukup, ABIM perlu menamatkan segera hubungan dengan WUC dan NGO antarabangsa seperti Center for Uyghur Studies (CUS) yang dilihat menjadi pendokong kuat organisasi itu.

“Kita tidak mahu, perjuangan ABIM disalah erti masyarakat, dan memutuskan hubungan dengan organisasi Pro-Israel ini dapat memberi perspektif bahawa ABIM benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan isu kemanusiaan umat Islam,” katanya.

Sekurang-kurangnya 21,000 penduduk Palestin termasuk lebih 8,800 kanak-kanak dan lebih 6,300 wanita terbunuh sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast