Gambar hiasan

PULAU PINANG – Pengerusi Cawangan Pulau Pinang Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Seri Lee Teong Li berkata, kira-kira 1,000 kilang di Pulau Pinang bercadang menghentikan operasi semasa tempoh gangguan air dari 10 Januari hingga 14 Januari.

Beliau berkata, keputusan itu perlu diambil kerana kerajaan negeri tidak memberi jaminan yang jelas kepada kilang-kilang.

Semasa menerima wawancara Kwong Wah Yit Poh, Teong Li berkata, kebanyakan kilang di Pulau Pinang boleh menghadapi 48 jam tanpa bekalan air kerana mempunyai kemudahan simpanan air sendiri, tetapi tidak boleh berdepan 96 jam tanpa air.

Beliau menjelaskan, industri elektrik dan industri berasaskan makanan tidak boleh menghadapi keadaan tanpa air secara berpanjangan, khususnya yang melebihi dua hari.

Menurutnya, terdapat lebih 1,000 kilang di Pulau Pinang dan daripadanya, kira-kira 500 merupakan ahli FMM dan mereka merancang untuk menghentikan operasi semasa gangguan air berlaku.

Ujarnya, angka kerugian sukar dianggarkan pada masa ini.

“Kami membuat keputusan menutup kilang pada masa susah ini dan keadaan gangguan air sukar dijangkakan dan memerlukan masa untuk memantau,” katanya.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengumumkan gangguan bekalan selama 96 jam dari 10 hingga 14 Januari 2024 untuk membolehkan penggantian injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua dan kerja-kerja berkaitan dijalankan.

Pada Disember 2023, negeri itu juga mengalami gangguan air sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati, khususnya penduduk di kawasan yang lambat menerima bekalan air.

Mengulas lanjut, Teong Li berkata, gangguan air pada Disember 2023 yang disebabkan paip pecah telah membayangkan kesukaran yang akan dialami semasa gangguan air pada Januari 2024.

Susulan daripadanya, beliau meminta pihak berkuasa untuk mendapat pandangan pakar, termasuk dari luar negara, mengenai kemungkinan melakukan kerja penggantian injap secara berperingkat untuk mengurangkan impak kepada industri.

Katanya, gangguan air Disember walaupun telah tamat, tetapi sesetengah kawasan masih berdepan masalah tekanan air rendah.

Ujarnya, pihak FMM telah menghantar surat kepada PBAPP untuk mengadakan perbincangan mengenai gangguan bekalan, tetapi belum menerima maklum balas tentang tarikh mesyuarat.

Mengulas soalan wartawan, Teong Li berkata, disebabkan operasi kilang berlainan dengan pejabat, maka kaedah kerja dari rumah tidak boleh digunakan.

“Jika bekalan air putus secara berpanjangan, ini pasti akan memberi kesan kepada pengeluaran,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast