PETALING JAYA – Cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai rendah (LVG) yang dilaksanakan pada 2024 mungkin mengecewakan pengguna yang gemar membeli barangan kecil dan murah dari luar negara, tetapi ia sesuatu yang memberangsangkan buat peniaga tempatan.
Sebelum ini, pengguna dapat menikmati harga lebih murah apabila melanggan platform jual beli dalam talian dari luar negara kerana tidak dikenakan cukai sedangkan peniaga e-dagang dan peniaga mikro tempatan perlu menjelaskan cukai import dan cukai jualan.
Sinchew Daily melaporkan, cukai ke atas LVG luar negara itu dilihat mendorong persaingan lebih adil, tetapi pengguna perlu berdepan harga lebih mahal apabila membeli dari luar negara.
Pakar percukaian, L.L. Kong berkata, pembeli jangan ingat boleh mengelak daripada membayar cukai itu.
Katanya, walaupun platform luar negara mungkin tidak mengendahkan polisi Malaysia, tetapi sebaik sahaja barangan sampai ke Malaysia, produk berkenaan akan dihantar ke gudang terikat.
Menurutnya, pihak kastam seterusnya akan memastikan penjual berdaftar menjelaskan cukai sebelum melepaskan produk itu.
Kong menjelaskan, penjual berdaftar itu boleh terdiri daripada syarikat pengimport, syarikat kurier atau ejen, dan mereka akan membantu kerajaan mengutip cukai berkenaan.
“Sebagai contoh, Amazon mungkin tidak peduli dasar LVG kerajaan Malaysia, tetapi orang Malaysia mungkin berdepan situasi tertentu.
Ujarnya lagi, situasi kedua adalah barangan yang tidak dijelaskan cukai oleh pembeli akan tersangkut di gudang terikat dan syarikat kurier mungkin mengutip cukai itu daripada pembeli.
“Barang yang tidak dijelaskan cukainya tidak akan dilepaskan dari gudang,” katanya.
Menurutnya, situasi ketiga adalah Amazon sedar akan polisi Malaysia dan membuat kutipan cukai daripada pembeli semasa jual beli berlaku.
Seorang lagi pakar percukaian, Datuk Chua Tia Guan berkata, syarikat biasanya akan mendaftar dengan kerajaan untuk memastikan kelancaran perniagaan.
“Jika pengguna membeli daripada syarikat yang tidak berdaftar dan barang itu sampai di Malaysia tetapi cukai belum dijelas, maka syarikat kurier akan minta pengguna membayar terlebih dahulu sebelum barang dilepaskan kastam,” katanya.
Malaysia mula mengenakan cukai jualan sebanyak sebanyak 10 peratus ke atas barangan diimport yang dijual secara dalam talian mulai 1 Januari 2024.
Kerajaan sepatutnya mengenakan cukai LVG sebanyak 10 peratus ke atas barangan berharga di bawah RM500 yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa 1 April, 2023 di bawah Belanjawan 2022, tetapi telah ditangguhkan oleh jabatan kastam.
Susulan daripadanya, pengenaan cukai jualan ke atas LVG akan bermula pada 1 Januari 2024, walaupun perundangan cukai jualan ke atas LVG telah berkuat kuasa mulai 1 Januari, 2023.