Wisma Putra
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Wisma Putra memaklumkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat gempa bumi yang melanda Jepun hari ini.

“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Luar turut berkata, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan susulan gempa bumi yang melanda kawasan tengah dan barat Jepun hari ini.

“Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, sedang memantau rapat perkembangan susulan gempa bumi yang melanda kawasan tengah dan barat Jepun pada 1 Januari 2024.

“Gempa bumi dengan magnitud 7.6 itu telah mencetuskan amaran tsunami sepanjang kawasan pantai barat Jepun,” kata kementerian itu lagi.

Agensi berita Xinhua hari ini melaporkan satu siri gempa bumi kuat, dengan yang terbesar berukuran sehingga 7.6 magnitud, melanda wilayah Ishikawa di tengah Jepun.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), amaran tsunami telah dikeluarkan untuk daerah Noto, menggesa orang ramai segera berpindah berikutan amaran tsunami untuk wilayah Niigata, Toyama dan Ishikawa di sebelah Laut Jepun di negara itu.

Gempa itu mencatatkan intensiti 7 pada skala seismik Jepun dengan gegaran dirasai di beberapa wilayah di negara Asia itu.

Menurut agensi cuaca, gempa bumi kuat terbaharu berlaku pada pukul 4.10 petang waktu tempatan (3.10 petang waktu Malaysia) pada kedalaman yang cetek. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jepun: Amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa bumi magnitud 7.6