Lelaki ditahan berkhalwat bersama wanita warga asing bukan Islam di sebuah rumah tumpangan di Bukit Jambul, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN  – Seorang lelaki tempatan ditangkap khalwat bersama wanita asing bukan Islam di sebuah rumah tumpangan di Bukit Jambul di sini awal pagi tadi.

Ketika serbuan, pasangan berkenaan hanya membuka pintu bilik kira-kira 15 minit kemudian dan siasatan pihak berkuasa mendapati pasangan tersebut merupakan kenalan di tempat kerja.

Masing-masing memberi alasan penat untuk pulang selepas meraikan sambutan tahun baru.

Pasangan kekasih berusia 20-an itu antara tujuh pasangan yang ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam Operasi Ambang Tahun Baru antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi di beberapa rumah tumpangan serta hotel bajet sekitar Bayan Lepas, Bukit Jambul serta Sungai Nibong di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Anuar Ismail berkata, kebanyakan pasangan yang ditahan itu masing-masing berasal dari negeri bersempadan dengan Pulau Pinang.

“Rata-rata mereka memberi alasan menginap bersama susulan penat untuk pulang serta perjalanan jauh selepas meraikan sambutan tahun baru.

Penguat kuasa JHEAIPP soal siasat pasangan yang ditangkap berkhalwat di beberapa hotel bajet serta rumah tumpangan di daerah Barat Daya serta Timur Laut.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu berkhalwat,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Turut dirampas dalam operasi berkenaan beberapa kondom termasuk yang sudah digunakan.

Tambah Anuar, penguat kuasa JHEAIPP akan melakukan operasi sebegini dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan tidak bermoral sebegini. – MalaysiaGazette