Jururawat meraikan bayi salah seorang bayi yang merupakan anak kelahiran Pahang yang selamat dilahirkan pada 1 Januari 2024.

KUANTAN – Memasuki 1 Januari 2024, Pahang merekodkan sebanyak 13 kelahiran bayi bermula 12 tengah malam tadi sehingga 12 tengah hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, lapan daripadanya merupakan bayi lelaki dan selebihnya perempuan.

”Sembilan bayi dilahirkan secara normal dan empat lagi melalui kaedah pembedahan.

”Alhamdulillah semua semua bayi dilaporkan stabil di mana lapan bayi merupakan bayi Melayu, dua warganegara asing, seorang orang Asal dan selebihnya lain-lain bangsa.

”Tahniah kepada ibu dan bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada hari tahun baharu ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr Nor Azimi, bayi pertama dilahirkan di Hospital Raub pukul 12.42 pagi tadi merupakan bayi perempuan seberat 3.25 kilogram dilahirkan melalui kaedah bersalin secara normal.

Menurutnya, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) mencatatkan kelahiran tertinggi iaitu seramai lima orang bayi diikuti Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) merekodkan empat kelahiran.

Manakala Hospital Kuala Lipis cata tiga rekod  kelahiran manakala Hospital Raub mencatatkan satu kelahiran sehingga pagi ini. – MalaysiaGazette