PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan menganggarkan kerosakan melibatkan institusi pendidikan di lapan buah negeri yang terjejas banjir dianggarkan melebihi RM1 juta.
Negeri-negeri tersebut ialah Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Sabah, Sarawak, Johor dan Perak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerosakan-kerosakan yang dialami melibatkan perabot, pagar, fizikal bangunan dan aset yang tidak boleh dipindahkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Secara keseluruhan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang bermula 11 November hingga semalam, bilangan institusi pendidikan yang terlibat banjir sebanyak 157 buah iaitu 133 buah sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan satu pusat permata.
“Sebanyak 207 buah institusi pendidikan dijadikan PPS (Pusat Pemindahan Sementara) iaitu 173 sekolah rendah, 33 sekolah menengah dan sebuah kolej Vokasional,” katanya pada sidang media khas berhubung situasi terkini kesan banjir melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM di sini, hari ini.
Bagaimanapun menurut Fadhlina, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedang mengumpulkan maklumat berkenaan anggaran kerosakan yang dialami di institusi-instutusi pendidikan terbabit. – MalaysiaGazette