Fisol (tengah) menunjukkan syabu yang disembunyikan suspek dalam ruang tayar ganti bagi elak dikesan pihak berkuasa. FOTO : FB Polis Kedah

ALOR SETAR – Cubaan dua lelaki Thailand disyaki mengedar dadah jenis syabu dengan menyembunyikannya di dalam tayar ganti pacuan empat roda berjaya dipatahkan polis.

Mereka ditahan di Kampung Baru Balai Pos, Jalan Sungai Korok, Ayer Hitam dalam daerah Kubang Pasu pada Khamis lalu.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 25 dan 41 tahun pukul 11 malam itu berdasarkan maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek memberhentikan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di tepi jalan kampung sebelum melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

Bagaimanapun, cubaan meloloskan diri gagal selepas mereka ditahan selain berlaku sedikit pergelutan dalam proses tangkapan.

“Hasil pemeriksaan pada pacuan empat roda yang dinaiki mereka membawa kepada penemuan 10 bungkusan plastik hijau bertulis Guanyinwang berisi syabu dianggarkan 10.6 kilogram (kg) yang disorok di dalam tayar ganti.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM349,800 dan sekiranya dadah ini terlepas, ia boleh digunakan oleh 20,000 penagih di negara ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Fisol, dua suspek itu direman selama tujuh hari bagi  membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette