MELAKA – Seorang bekas eksekutif akaun dijatuhi hukuman penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan wang syarikat bernilai lebih RM680,000 empat tahun lalu.
Tertuduh, Tan Siau Ling, 43, dijatuhi hukuman selepas membuat pengakuan itu atas enam pertuduhan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.
Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Mohd Sabri, wanita itu sebagai eksekutif akaun di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn Bhd didapati melakukan pecah amanah membabitkan nilai RM386,858.85 milik syarikat berkenaan.
Tertuduh didapati memasukkan wang berkenaan dengan jumlah berbeza ke dalam akaun peribadinya serta akaun syarikat milik bekas suaminya, Yew Meng Kiat Enterprise.
Kesalahan itu dilakukan di di premis syarikat itu di No 32-1, Jalan PM 5 Plaza Mahkota Melaka antara 24 Mei hingga 14 Oktober 2019, 15 hingga 28 Ogos 2019 dan 11 September 2019.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun sehingga 14 tahun dan sebat serta denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Bagi tiga pertuduhan itu, Mohd Sabri pada penghakimannya menetapkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh ditangkap pada 20 Jun lalu.
Sementara itu, bagi tiga lagi pertuduhan di hadapan Darmafikri, tertuduh mengaku memindahkan sejumlah RM293,249.28 daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat berkenaan dalam jumlah berbeza ke tiga akaun bank miliknya.
Perbuatan itu didakwa di lokasi sama pada tarikh antara 4 Julai hingga 23 Oktober 2019 dan 20 Ogos hingga 24 September 2019.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang juga seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh ditangkap.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan penyelewengan itu antara 24 Mei 2019 sehingga 23 Oktober 2019 menerusi 47 transaksi pembayaran.
Kedua-dua prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Rashidah Baharom.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Nur Atifah Kamal Effendi merayu hukuman penjara minimum terhadap anak guamnya yang juga ibu tunggal tiga anak kerana ini merupakan kesalahan pertamanya.
Katanya, wanita itu juga terperdaya dengan sindiket pelaburan palsu dalam talian dan menyebabkannya menyalahgunakan keseluruhan wang berkenaan berjumlah RM680,108.13. – MalaysiaGazette