Lim kit siang dipunggah Anwar antirasuah Kerajaan Perpaduan reformasi Parlimen calon pembangkang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mencabar mana-mana pihak yang menuduh DAP mendominasi kerajaan memberi bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Menurut beliau, mereka boleh dianggap melakukan kesalahan menyentuh isu kaum dan agama (2R) sekiranya gagal berbuat demikian.

“Mereka telah mencetuskan permusuhan kaum dan agama bagi mewujudkan kebencian dan perpecahan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengimbau kembali peristiwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020 setelah berkuasa selama 22 bulan.

Beliau mendakwa, ia berlaku ekoran dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan PH ketika itu didominasi oleh DAP dan bukan Melayu untuk melaksanakan dasar-dasar yang bercanggah dengan kepentingan Melayu dan Islam.

Kit Siang berkata, mereka juga menyebarkan pembohongan bahawa Melayu dan Islam sedang diancam.

“Kempen pembohongan, pendustaan, berita palsu dan ucapan kebencian bermula selepas ucapan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September 2018 bahawa Malaysia akan meratifikasi perjanjian-perjanjian hak asasi manusia antarabangsa termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.

“Terdapat kempen secara sistematik yang menuduh bahawa Kabinet didominasi oleh DAP dan Perdana Menteri adalah ‘budak suruhan’ dan ‘gurkha’ DAP walaupun pemimpin-pemimpin DAP di dalam dan luar Kabinet tidak tahu-menahu langsung tentang ucapan Dr Mahathir di Perhimpunan Agung PBB,” jelasnya.

Beliau menambah, situasi semakin buruk apabila kematian pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November 2019 diuar-uarkan mempunyai kaitan dengan agenda perkauman dan agama.

Kita Siang memberitahu, sejak itu, isu 2R telah memecahbelahkan negara ini dengan pembohongan, pendustaan, berita palsu dan ucapan kebencian yang menjejaskan kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam sebuah negara pelbagai etnik, agama dan bangsa.

“Dalam masa lima tahun, Malaysia mempunyai lima Perdana Menteri. Pada 2024, kita sepatutnya membuang sikap yang menyebabkan perpecahan sesama kita,” katanya. – MalaysiaGazette