Anggota forensik turun ke lokasi penemuan mayat lelaki disyaki mati tersepit pada pintu automatik ATM bank di Kota Kemuning, Shah Alam tengah malam tadi. - Gambar ihsan IPD Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mabuk yang terbaring di pintu masuk automatik sebuah premis bank maut apabila lehernya tersepit dalam kejadian di Kota Kemuning, Shah Alam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pukul 7.29 pagi tadi mengenai insiden berkenaan.

Polis kemudian menemukan seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan pintu masuk ke ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berkenaan.

“Siasatan anggota disusuli semakan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati pukul 11.48 malam tadi mangsa dilihat berbaring di hadapan pintu masuk ke ruang mesin ATM.

“Kemudian pukul 12.01 pagi hari ini, pintu automatik bilik ruang mesin ATM bank itu telah tertutup menyebabkan leher mangsa telah tersepit antara pintu shutter dan lantai sebelum pukul 6 pagi ia terbuka semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, pemeriksaan lanjut bersama  pegawai perubatan Hospital Klang mendapati mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Namun, katanya, pemeriksaan teliti ke atas badan simati tidak menemui sebarang kecederaan lain yang mungkin boleh membawa kepada unsur jenayah.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati si mati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan setakat siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini.

“Polis kini klasifikasikan dan menyiasat kematian mangsa di bawah laporan kematian mengejut (SDR),” ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, usia si mati dianggarkan sekitar 50 hingga 60-an dan tidak mengesan sebarang kesan suntikan BCG pada badan mangsa.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrul di talian 012-363 0512 bagi membantu siasatan mengenal pasti identiti dan mengesan waris keluarga si mati. – MalaysiaGazette