Ops Khas Ambang Tahun Baru oleh Trafik Ampang Jaya di Pandan Indah Kelmarin. Ihsan IPD Ampang
Ops Khas Ambang Tahun Baharu 2024 oleh Trafik Ampang Jaya di Pandan Indah Kelmarin. - Hambar ihsan IPD Ampang.

KUALA LUMPUR – Tiga individu yang didapati memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol ditahan polis  di Pandan Indah pada ambang sambutan Tahun Baharu 2024 semalam.

Kenderaan mereka turut disita untuk tindakan lanjut, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail.

Kesemua pesalah itu ditahan menerusi sekatan jalan semasa pelaksanaan Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2024 di Jalan Pandan Indah.

Katanya, operasi  secara sekatan jalan raya itu  bermula 10 malam hingga 12 pagi pada 31 Disember lalu oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan, seramai tiga individu lelaki dalam anggaran umur 40 hingga 70 tahun telah ditahan atas kesalahan memandu kenderaan bermotor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut peruntukan seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.

“Sehubungan itu, tangkapan bersama-sama dengan kenderaan yang terlibat telah dibawa balik ke Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, ketiga-tiga individu berkenaan juga telah dilibatkan dalam ujian nafas dengan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II).

“Hasil ujian menunjukkan keputusan tahap kandungan alkohol dalam darah telah melebihi had yang ditetapkan iaitu sebanyak 50/100ml sahaja had yang dibenarkan,” katanya.

Individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen ini boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi (2) tahun dan denda tidak kurang daripada RM 10,000 dan tidak lebih daripada RM30,000 selain lesen memandu akan digantung selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Ops Khas Ambang Tahun Baru oleh Trafik Ampang Jaya di Pandan Indah Kelmarin. Ihsan IPD Ampang
Ops Khas Ambang Tahun Baru oleh Trafik Ampang Jaya di Pandan Indah Kelmarin. Ihsan IPD Ampang

Di samping itu, polis turut melaksanakan Operasi Khas Motosikal sekitar Jalan Ampang dan Bukit Ampang bertujuan bagi mengekang golongan remaja  menunggang motorsikal secara merbahaya.

Mohd Azam menjelaskan, dalam operasi khas motosikal itu, sebanyak pada sembilan buah kenderaan telah disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 dan Sek. 6(4) akta yang sama.

“Pada masa yang sama, seramai 131 individu telah diperiksa dalam operasi ini sebelum sebanyak 82 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu yang sah, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi dan lain-lain kesalahan mengikut peraturan dan undang-undang yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette