NIBONG TEBAL – Empat lelaki tersepit dalam dua kenderaan berasingan selepas lori dan van yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan sebelum merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Kilometer 157.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Sungai Bakap menghala ke utara, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.10 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap dan BBP Nibong Tebal bergegas ke lokasi.
Jelasnya, sebaik tiba pihak bomba mendapati empat lelaki yang terdiri daripada pemandu lori dan kelindan serta pemandu van bersama penumpang berusia 28 hingga 60 tahun tersepit dalam kenderaan masing-masing.
“Masing-masing mereka dikatakan tersepit selepas kenderaan yang naiki terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.
“Susulan itu, operasi mengeluarkan kesemua mangsa dilakukan yang mana mangsa pertama dikeluarkan pada jam 12.45 tengah hari manakala mangsa terakhir pada jam 1.51 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah PGO, kesemua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut.
“Siasatan lanjut diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat sepenuhnya jam 2.17 petang,” katanya. – MalaysiaGazette