CAPE TOWN – Peguam yang mewakili Afrika Selatan dalam prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa terhadap Israel sedang bersedia untuk perbicaraan yang dijadualkan pada 11 dan 12 Januari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh jurucakap Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan Clayson Monyela dalam catatan di X hari ini.
Menurutnya, barisan peguam yang akan mewakili Afrika Selatan termasuk John Dugard, seorang profesor undang-undang antarabangsa Afrika Selatan.
Beliau juga merupakan pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin dari 2001 hingga 2008.
“Hanya untuk penjelasan. ICJ telah menjadualkan pendengaran kes yang dicetuskan #SouthAfrica. Ini ditetapkan untuk 11 dan 12 Januari 2024 di Hague. Peguam kami sedang bersiap sedia untuk ini,” kata Monyela.
Beliau mengulas kenyataan penasihat keselamatan negara Israel, Tzachi Hanegbi bahawa negara zionis itu akan menghadiri pendengaran kes berkaitan ‘tindakan genosid di Gaza’ yang difailkan Afrika Selatan
“Israel telah menandatangani konvensyen menentang pembunuhan beramai-ramai selama beberapa dekad dan kami pastinya tidak akan memboikot prosiding itu, tetapi bangkit dan menangkis plot yang tidak masuk akal terhadap kami,” kata Hanegbi.
Afrika Selatan memfailkan kes di ICJ terhadap Israel pada 29 Disember atas tuduhan melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Gaza.
Permohonan terhadap ICJ itu merujuk dakwaan bahawa Israel melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid dan Israel terbabit serta berisiko akan melakukan lagi pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Afrika Selatan juga mendakwa Israel bertindak ‘dengan niat khusus’ mahu memusnahkan rakyat Palestin di Gaza sebagai sebahagian daripada penduduk etnik, kumpulan kaum dan penduduk wilayah berkenaan.
Israel telah membunuh lebih 22,000 rakyat Palestin dalam serangan berterusan hampir 100 hari dan telah memusnahkan lebih separuh bangunan di Gaza.-Agensi