Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat barang kerpeluan sumbangan kepada kerajaan negeri untuk mangsa banjir daripada Yayasan Petronas hari ini

KUANTAN – Tiada aduan berkaitan pengurusan isu banjir diterima di negeri ini, sekali gus menunjukkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah di negeri berfungsi dengan baik.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, banjir baru-baru ini menyaksikan lebih 1,300 mangsa banjir di negeri Pahang.

“Keadaan mereka baik dan telah pulang ke rumah masing-masing serta syukur tidak ada kematian.

”Terima kasih kepada agensi kerajaan yang telibat secara langsung dan tidak langsung iaitu APM, PDRM, Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Tindakan Sosial Pahang (MSTP), pejabat SUK dan tidak ketinggalan Exco Kebajikan,” katanya.

Terdahulu, Wan Rosdy mewakili Kerajaan Negeri Pahang menerima sumbangan pakej prihatin mengandungi barangan keperluan asas berjumlah RM450,000 daripada Yayasan Petronas untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Menurutnya, di Pahang, sistem agihan bantuan diselaraskan melalui PKOB bagi memastikan pengurusan bantuan dilaksanakan secara optimum dan sistematik.

”Agihan melalui PKOB kerana kita tidak mahu bertindan, semua pihak mesti melalui Pengerusi PKOB untuk menyalurkan bantuan,

”Sebab itu kita lihat pengurusan banjir di Pahang lebih teratur, lebih tersusu, sebab itu tiada aduan daripada mangsa banjir,” tambahnya. – MalaysiaGazette