KUANTAN – Yayasan Petronas menyalurkan sumbangan berjumlah RM460,000 menerusi Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 kepada mangsa banjir di negeri ini.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, pihaknya turut memberi sumbangan bernilai RM10,000 dalam bentuk Kad Hadiah Petronas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang yang diserahkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
“Sumbangan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Selain itu, sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir, Petronas turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa berkaitan,” katanya hari ini.
Sumbangan Pakej Prihatin terdiri daripada barangan keperluan seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral diagihkan kepada setiap keluarga dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.
Sejak 2019, Yayasan Petronas telah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM5 juta kepada isi rumah yang terjejas dengan banjir. – MalaysiaGazette