Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof

MELAKA – Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendesak Kerajaan Melaka mendedahkan proses lantikan dan pengawasan kontraktor bagi kerja-kerja menaik taraf jalan raya dan sistem perparitan di negeri itu.

Ketua Penerangan PN yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, kontraktor terbabit perlu dipertanggungjawabkan atas kecuaian mereka hingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal hari ini.

“Saya mendesak pihak agensi yang terlibat, kontraktor yang dipilih dan kerajaan negeri mesti bertanggungjawab sepenuhnya. Kerajaan negeri juga didesak untuk mendedahkan secara telus, proses pelantikan dan pengawasan kontraktor untuk kerja ini.

“Pendedahan ini ialah perkara wajib untuk bencana ini. Wang Ringgit pun dah tak berguna bila nyawa sudah melayang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal yang mereka tunggang terbabas ke dalam parit di Jalan Bukit Katil pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, PBK II Riduan Ahmad berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.49 pagi dan sepasukan pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, pihaknya mendapati terdapat tiga penunggang motosikal telah terbabas ke dalam parit yang sedang dalam proses pembinaan.

Salah seorang mangsa telah meninggal dunia manakala dua lagi mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital.

Dalam pada itu, Mohd Aleef mengkritik ahli-ahli politik yang kononnya prihatin kepada nasib tiga penunggang motosikal terbabit sedangkan hanya mahu meredakan kemarahan orang ramai agar tragedi berkenaan dilupakan.

“Ini taktik yang mereka guna selama puluhan tahun lamanya. Tapi ahli politik kena ingat zaman sekarang bukan dulu yang mana semua benda buruk boleh disorok dan didiamkan.

“Saya percaya ramai penduduk di Melaka ini yang sudah terlibat dengan kemalangan akibat daripada kecuaian dalam melaksanakan projek-projek seperti ini.

“Sudahlah kita kena hadap lampu trafik yang berlambak seantero Melaka kini dikejutkan pula dengan tragedi jalan raya seperti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast