PUTRAJAYA – Gesaan Lawyers for Liberty (LFL) agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga pindaan dibuat ke atas Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010 sebagai tidak memahami peranan setiap akta di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia juga menunjukkan pihak yang membuat gesaan itu sebagai kurang cerdik.
Menurut beliau, LFL sepatutnya perlu mengetahui perbezaan antara data di bawah APDP dan data awam sebelum membuat gesaan itu.
“Kalau kita mengikut komen-komen contoh daripada LFL, maksudnya kita kena tutup Jabatan Pendaftaran Negara. Semua data, kamu semua tak payah pakai. Tak boleh pakai (data) Imigresen, tak boleh pakai apa.
“PADU ini data yang dikumpul dan bukan data baru. Kalau kita cakap kamu semua ada data dalam data kerajaan.
“Tanpa ada APDP, yang dipanjangkan kepada data-data awam, dengan agensi kerajaan maka kerajaan tidak boleh meneruskan apa-apa proses yang melibatkan data rakyat maka semua agensi sekarang ini kena tutup,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah LFL, Zaid Malek yang mahu pelaksanaan sistem PADU sebelum pindaan APDP mendedahkan orang ramai kepada risiko pencerobohan dan kebocoran, penipuan dan penyalahgunaan lain.
Mengulas lanjut, Rafizi menambah, data awam dikawal selia oleh akta bagi setiap agensi yang mengutip data awam di negara ini.
“Saya berharap LFL akan terlebih dahulu memahami perbezaan antara (data di bawah) PDPA dan data awam. Ini kerana data awam dikawal selia oleh akta bagi setiap agensi yang mengutip data awam.
“Kalau pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), perkara kebrrtanggungjawapan, kerahsiaan data dan pengendalian data penjawat awam telah masuk dalam akta JPJ,” katanya. – MalaysiaGazette