Kon Yeow (kiri) Kok Ping (kanan).

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memfailkan saman fitnah terhadap Penasihat Eksekutif Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping berhubung isu penjualan tanah semalam.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 24 Januari ini bagi pengurusan kes saman tersebut.

Menurut Kon Yeow, pihaknya mengambil keputusan memulakan saman susulan tiada permohonan maaf daripada Kok Ping mahu pun menarik semula kenyataan fitnah yang telah dikeluarkannya.

Jelas beliau, peguamnya sudah mengestrak salinan writ serta keterangan tuntutan berhubung kes tersebut semalam.

“Salinan sama seharusnya disampaikan kepada Kok Ping atas dakwaan kenyataan fitnah yang dilakukan beliau semasa sidang media anjuran PCCC pada 18 Oktober lalu.

“Kok Ping telah menggunakan kapasiti beliau sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup PCCC bagi mengadakan sidang media berhubung perjanjian pembangunan bersama bertarikh 27 September lalu untuk projek pembangunan yang dicadangkan antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan UMECH Land Sdn Bhd.

“Walaupun penamatan perjanjian itu telah diumumkan PDC kepada media dan orang ramai pada 16 Oktober lalu, Kok Ping didakwa dengan sengaja membuat kenyataan fitnah dalam bahasa Mandarin semasa sidang media tersebut,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

Tambah Kon Yeow, kenyataan yang dikeluarkan Kok Ping itu menyerang watak, kredibiliti, kecekapan serta keupayaan beliau selaku Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi PDC.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang memutuskan sebulat suara supaya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengambil tindakan undang-undang terhadap Kok Ping  atas kenyataan beliau yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah Kon Yeow sebagai Ketua Menteri. – MalaysiaGazette