Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sebanyak 156,029 kes membabitkan pelbagai kesalahan jenayah komersial sepanjang tempoh lima tahun bermula 2019 hingga 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf berkata, daripada aspek nilai kerugian yang dialami mangsa sepanjang lima tahun itu jumlah kerugian yang dicatatkan telah mencecah RM14.3 bilion atau lebih tepat RM14,333,880,191.93.

Mengikut pecahan bagi tahun 2019, sebanyak 26,330 kes jenayah komersial dicatatkan membabitkan nilai kerugian RM6.217 bilion manakala bagi tahun 2020, angka jenayah komersial menyaksikan peningkatan iaitu sebanyak 27,323 kes melibatkan kerugian RM2.064 bilion.

“Manakala bagi tahun 2021 pula, jumlah kes jenayah komersial terus memperlihatkan kenaikan apabila sebanyak 31,490 kes dilaporkan dengan nilai kerugian wang mangsa berjumlah RM2.206 bilion.

“Dalam pada itu, angka jenayah komersil bagi tahun 2022 adalah sebanyak 30,536 kes membabitkan nilai kerugian berjumlah RM1,733 bilion dan akhirnya bagi sepanjang tahun 2023 sebanyak 40,350 kes direkodkan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM2.11 bilion,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, Jalan Tun Razak hari ini.

Tambah Ramli Mohamad, dalam perkembangan berkaitan, mengikut pecahan jenis kes jenayah komersial sepanjang tahun lalu, penipuan merupakan jumlah kes yang tertinggi dengan 89.3 peratus atau 36,030 kes membabitkan kerugian berjumlah RM1.679 bilion.

Ia disusuli pecah amanah jenayah (1,215 kes – kerugian RM380 juta), aalah guna harta dengan curang (47 kes- kerugian RM2.542 juta) dan jenayah siber (867 kes- kerugian RM35.6 juta).

Daripada kes penipuan itu, kes penipuan dalam talian yang disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kesalahan menipu) mencatatkan sejumlah 34, 497 kes bersamaan 85.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pecahan kes-kes atas talian juga menunjukkan modus operandi e-dagang merekodkan 11, 473 kes membabitkan kerugian sebanyak RM204.003 juta diikuti jenayah telekomunikasi (10,348 kes-RM353,021 juta), pelaburan tidak wujud (5,386 kes- kerugian RM472.156 juta).

“Sebagai usaha membanteras jenayah komersial itu, JSJK telah berjaya melaksanakan sebanyak 18,221 operasi dan serbuan bermula Januari hingga Disember 2023 dan seramai 22,911 individu telah ditahan dalam kesemua serbuan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

“Antara lain, jabatan turut memberikan fokus kepada aktiviti pencegahan bermatlamat untuk memberikan informasi kesedaran kepada masyarakat mengenai ancaman jenayah komersil serta modus operandi terkini sindiket agar ia dapat mengelakkan diri daripada terjerat dalam perangkap sindiket penipuan,” ujar beliau.

Tegasnya lagi, sepanjang 2023 juga JSJK telah melaksanakan sejumlah 7,228 aktiviti pencegahan yang merangkumi pelbagai aktiviti kempen, pameran, ceramah, kolaborasi media dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramli mengakui ledakan teknologi dan perkembangan dunia telekomunikasi serta siber membawa kesan signifikan khususnya dalam kewujudan pelbagai jenis modus operandi penipuan baharu yang diakui memberi kesan kepada peningkatan kes-kes jenayah komersil.

“Malahan kes-kes jenayah komersil yang dicatatkan pada tahun 2023 telah meningkat sebanyak 53.2 peratus berbanding lima tahun lalu.

“Peningkatan jumlah kes ini telah memberikan cabaran yang besar kepada JSJK kerana sepanjang lima tahun kebelakangan ini jumlah pegawai penyiasat JSJK tetap sama jika diukur berdasarkan kekuatan semasa iaitu seramai 839 orang dengan purata 48 kertas siasatan untuk seorang pegawai penyiasat untuk setahun.

“Oleh demikian, pihak kami sedang berusaha untuk menambah bilangan keanggotaan JSJK dengan lebih intensif pada 2024,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast