Mohamed Sukri Omar
Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menggesa pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berikutan kenyataannya yang didakwa menyinggung sensitiviti umat Islam baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Mohamed Sukri Omar berkata, ratusan laporan polis telah dibuat di seluruh negara atas keceloparan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP itu.

“Meskipun permohonan maaf telah dibuat, ia tidak dilihat ikhlas dan boleh dipersoalkan memandangkan ini bukanlah kali pertama Koo Ham serta pemimpin DAP yang lain mengeluarkan kenyataan yang sengaja menyentuh hal sensitiviti umat Islam.

“Siri-siri tindakan oleh pemimpin DAP ini secara jelas cuba memperlekehkan kedudukan Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta realiti demografi negara yang merupakan terdiri daripada majoriti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 28 Disember lalu, FMT melaporkan, Koo Ham mencadangkan pakar perundangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Keesokannya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Koo Ham telah membuat permohonan maaf menerusi satu kenyataan pada 31 Disember lalu.

Mohamed Sukri turut mempersoalkan pendirian sebenar DAP berhubung isu tersebut memandangkan respon kepimpinan parti tersebut terhadap kekhilafan Koo Ham disifatkan amat lemah.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor menegaskan, DAP perlu membuat permohonan maaf secara rasmi atas keceluparan pemimpin-pemimpinnya menyinggung sensitiviti umat Islam.

“DAP perlu mengambil tindakan disiplin terhadap Koo Ham sebagai tanda parti itu serius menyatakan pendirian bahawa kenyataan Koo Haam itu adalah atas kapasiti peribadinya sahaja,” jelasnya.

Mohamed Sukri turut mendesak Koo Ham meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Beruas kerana didakwa bersikap biadab terhadap institusi diraja yang bertanggunjawab atas hal ehwal agama Islam di negara ini. – MalaysiaGazette