KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan meneliti semula pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat dalam memperkasakan komuniti India di Malaysia.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penstrukturan ini diharap akan dapat dapat membawa impak positif dan kesediaan kementerian untuk terus menangani isu Pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.
“KPN komited menambah baik pembangunan sosioekonomi masyarakat India melalui pemerkasaan pelbagai inisiatif dan program bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat India termasuk bidang pendidikan, ekonomi, dan sosial.
“Program peningkatan kemahiran, pembangunan modal insan dan peluang keusahawanan juga akan terus diperkukuh bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah masyarakat India yang berpendapatan rendah (B40),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam kerangka Ekonomi MADANI turut ditekankan komitmen kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar semua kaum di Malaysia.
“Saya menyambut baik penstrukturan dan penyusunan semula agensi tersebut yang dianggap sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh lagi peranan Kementerian dan agensi-agensi berkenaan.
“Kedua-dua agensi yang diletakkan di bawah KPN ini dilihat dapat membawa impak positif dalam jangka masa panjang terhadap pembangunan dan kemajuan masyarakat India Malaysia.
“Ia akan melalui pelaksanaan program-program berimpak tinggi sejajar dengan pemboleh daya perpaduan iaitu memperkasakan komuniti minoriti dan rentan ekonomi yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara,” ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyusunan semula agensi kerajaan melalui rombakan Kabinet.
Ia menyaksikan pemindahan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang ke Kementerian Perpaduan Negara (KPN). – MalaysiaGazette