Aksi calon Perikatan Nasional (PN) N.22 Gurun, Baddrol Bakhtiar bermain bola dalam perlawanan persahabatan Pilihan MB menentang Kedah Chinese FA sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Stadium Darul Aman, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 04 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Legenda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar membuat permohonan maaf selepas tendangan yang dilakukannya mengenai seorang jurugambar di tepi gawang gol.

Permohonan maaf itu dubuat menerusi status WhatsApp miliknya.

Menerusi video yang dikongsikan, Baddrol dilihat sedang bermain bola sepak bersama penduduk kampung sambil menyantuni mereka.

Namun tanpa disangka, seorang jurugambar menjadi mangsa tendangan bekas kapten Kedah dan Sabah itu sehingga jatuh terduduk.

Apa yang menarik, bekas pemain berusia 35 tahun itu masih mempunyai teknik sepakan yang baik meskipun sudah enam bulan tidak beraksi secara profesional.

Bekas pemain Kedah dan Sabah FC itu kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Gurun selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada Ogos tahun lalu.

Baddrol kini dilihat semakin membiasakan diri dengan kerjaya baharunya dengan mendapat pengaruh di kawasan yang dimenanginya itu.

Untuk rekod, Baddrol mula mewakili Kedah bersama skuad Piala Presiden sebelum diserapkan ke pasukan utama pada 2006.

Bersama Kedah, bekas pemain tengah itu berjaya meraih pelbagai kejuaraan utama dalam Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Liga Perdana dan Piala Sumbangsih.

Pada PRN Ogos lalu, Baddrol memenangi kerusi DUN Gurun dengan memperoleh 17,771 undi sekali gus mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari yang meraih 11,187 undi. – MalaysiaGazette