KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia diunjurkan mengalami aliran lebih tinggi minggu depan dengan bergerak dalam julat 1,470 hingga 1,500, didorong oleh keyakinan terhadap bursa tempatan.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI dijangka kekal di atas paras 1,465 bagi tempoh lebih panjang, ambang yang sukar dikekalkan beberapa kali tahun lepas, dengan dirangsang oleh petunjuk pasaran yang menggalakkan.
Beliau berkata dari sudut pandang teknikal, indeks penanda aras itu mencatatkan empat prestasi penutupan lebih tinggi secara berturut-turut berbanding semasa dibuka selain bergerak dari semua garis purata pergerakan eksponen (EMA), menunjukkan kesinambungan aliran meningkat.
“Terutama, tahap rintangan seterusnya dikenal pasti pada 1,500 diikuti oleh 1,527 manakala sokongan serta-merta pada 1,465 diikuti 1,450.
“Jika indeks penanda aras melepasi garis rintangan 1,500, kami mengunjurkan potensi peningkatan tambahan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata tempoh dagangan ini adalah minggu yang baik dan tidak seperti yang dijangkakan, keadaan juga agak sibuk bagi Bursa Malaysia.
“Minggu ini terbukti agak menarik bagi Bursa Malaysia kerana ia menyimpang daripada aliran pergerakan menurun global.
“Perbezaan ini berlaku susulan petanda bahawa keyakinan terhadap penurunan kadar faedah Amerika Syarikat semakin berkurangan, ditambah pula dengan data Indeks Pengurus Pembelian global yang lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata bursa tempatan dikenal pasti akan melakarkan hala tuju bebas daripada aliran pasaran menyeluruh.
Semasa minggu dagangan singkat, FBM KLCI memulakan 2024 dengan prestasi rendah pada Selasa.
Pasaran ditutup pada Isnin sempena Tahun Baharu 2024.
Walau bagaimanapun, pembelian semasa harga murah muncul selepas beberapa sesi penjualan.
FBM KLCI kemudian terus mencatatkan aliran lebih tinggi susulan pembelian besar ke atas YTL Corporation dan YTL Power International, didorong oleh keuntungan kukuh yang diraih syarikat itu daripada perniagaan kuasa di Singapura di samping jangkaan optimistik terhadap sektor pusat data.
Pada masa sama, pelabur terus berminat dengan saham mewah seperti bank.
Jumlah dagangan pasaran harian mencecah enam bilion bagi dua hari berturut-turut — pada Khamis dan Jumaat.
Pada Jumaat, FBM KLCI ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh hampir setahun.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 32.95 mata untuk menamatkan minggu pertama 2024 pada 1,487.61 daripada 1,454.66 minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 243.43 mata kepada 11,232.14, Indeks FBM 70 melonjak 446.89 mata kepada 15,059.87 dan Indeks FBM ACE naik 116.24 mata kepada 5,438.27.
Indeks FBM Emas menokok 273.52 mata kepada 11,097.22 dan Indeks FBMT 100 menambah 258.65 mata kepada 10,744.37.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 4.0 mata kepada 176.99, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 279.29 mata kepada 16,582.33, Indeks Tenaga menokok 22.09 mata kepada 839.82 dan Indeks Perladangan menambah 22.96 mata kepada 7,030.92.
Walaupun minggu dagangan singkat, Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan jumlah dagangan lebih tinggi iaitu 23.54 bilion unit bernilai RM12.68 bilion berbanding 15.11 bilion unit bernilai RM9.38 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 15.41 bilion saham bernilai RM11.11 bilion daripada 9.41 bilion saham bernilai RM8.10 bilion pada minggu lepas.
Jumlah dagangan waran sebanyak 2.93 bilion unit bernilai RM337.98 juta berbanding 1.54 bilion unit bernilai RM187.56 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula menambah kepada 5.09 bilion saham bernilai RM1.22 bilion berbanding 4.03 bilion saham bernilai RM1.08 bilion. – BERNAMA