KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas dalam kolam renang di sebuah kondominium di Taman OUG, Jalan Puchong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Amihizam Abdul Shukor berkata, polis menerima laporan kejadian pada 6.04 petang.
Menurutnya, sepasukan polis ke lokasi dan mendapati mangsa lelaki berusia 73 tahun tidak sedarkan diri dan sudah dibawa keluar dari kolam renang oleh ahli keluarganya.
“Ketika kejadian, mangsa yang menghidap penyakit jantung kronik melakukan aktiviti renang sebagai terapi seperti disarankan pakar perubatannya.
“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat dituntut oleh pihak keluarga dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Justeru beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran awam. – MalaysiaGazette