KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon maaf kepada peminatnya kerana tidak dapat menambah tiket dan hari persembahan Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza yang bakal diadakan di Axiata Arena pada 9 Mac ini.
Dia berkata, pihaknya sebagai penganjur utama mempunyai alasan tersendiri untuk tidak berbuat demikian kerana penambahan hari sebelum atau selepas konsert tidak boleh dilaksanakan kerana kerja teknikal dan produksi akhir dilakukan pada 8 Mac depan.
“Tarikh 10 Mac pula menghampiri bulan Ramadan dan begitu juga dengan jumlah tiket yang terjual sudah memenuhi kapasiti kerusi penonton di Axiata Arena.
“Jadi saya memohon maaf banyak-banyak kerana tidak menambah tiket atau hari persembahan selepas saya dan pasukan sudah fikir masak-masak dan untuk pertimbangkan.
“Namun mereka masih boleh mendapatkan menerusi rakan penaja yang diperuntukan sebanyak 300 tiket dengan syarat tertentu selain perancangan untuk konsert seterusnya pada tahun ini juga,” katanya ketika berucap pada sidang media Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di The Face Suites, di sini, hari ini.
Selepas lima tahun tidak mengadakan konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil, Siti Nurhaliza akan kembali beraksi dalam persembahan konsert dikenali Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza yang bakal diadakan pada 9 Mac 2024.
Konsert itu dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa iaitu sebuah pertubuhan amal yang diasaskan olehnya bersama suami, Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa.
Namun pada 21 Disember lalu, tiket yang berharga serendah RM129 hingga RM799, ‘licin’ disapu peminat dalam tempoh dua jam selepas jualan dibuka pukul 2 petang.
Kali terakhir Siti menganjurkan konsert solo di Axiata Arena pada 2019 menerusi Siti Nurhaliza On Tour Malaysia.
Mengulas lanjut, Siti yang akan menyambut hari ulang tahun ke-45 pada 11 Januari ini menyifatkan sambutan yang dibawakan khas Cuckoo itu adalah pencapaian luar biasa selepas hampir lima tahun tidak tampil dengan konsert solo di lokasi berkenaan.
“Ini satu pencapaian luar jangkaan saya kerana saya tidak menjangkakan sambutan sangat menggalakkan.
“Saya buat jualan tiket awal kerana bukan mudah penuhkan kapasiti 10,000 di Axiata Arena dan apatah lagi hampir lima tahun saya tak mengadakan konsert di lokasi berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, Siti turut mengumumkan penyanyi popular dari Indonesia, Judika akan menjadi penyanyi undangan pada konsert berkenaan.
“Saya akan mengundang penyanyi dari Indonesia yang juga sahabat saya, Judika,” katanya.
Ibu kepada sepasang anak itu turut memberitahu, sebahagian jualan tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu rakyat Palestin. – MalaysiaGazette