SEBERANG JAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan merangka strategi komprehensif bagi menarik golongan suri rumah di negara ini mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, setakat ini hanya 200,000 daripada tiga juta suri rumah di negara ini mencarum dibawah SKSSR.
“Kita sudah ‘all out’ (berusaha sehabis baik) dalam memastikan lebih ramai suri rumah mencarum menerusi skim ini meskipun ia baharu dilancarkan pada Disember lalu.
“Namun kita percaya masih ramai tidak mengetahuinya. Jadi, kita akan rangka strategi menarik golongan suri rumah mencarum sebelum mengumumkan langkah tersebut dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Steven Sim mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang selepas memegang portfolio KSM.
Hadir sama Pengerusi Perkeso, Datuk Seri Subhan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Tambah Steven Sim, wanita bekerja juga boleh mencarum dibawah SKSSR sekiranya tertakluk kepada syarat tertentu iaitu tidak melebihi usia 55 tahun.
“Sebenarnya, skim ini terbuka kepada semua wanita tidak kira suri rumah sepenuh masa atau wanita belum berkahwin dan wanita tidak bekerja tetapi mempunyai tugasan lain.
“Mereka boleh mencarum skim ini dengan bayaran RM120 setahun iaitu hanya RM10 sebulan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Steven Sim memaklumkan pihaknya akan mempertimbangkan untuk memperluaskan skim sama bagi olongan lelaki yang menjadi suri rumah atau ‘Mr Mama’.
“Belum ada lagi skim SKSSR untuk golongan lelaki tetapi kita akan pertimbangkan untuk masa depan kerana keperluan sekarang lebih mendesak kepada kaum wanita,” katanya. – MalaysiaGazette