SEBERANG JAYA – Majikan berdepan tindakan mengikut Akta Pekerja 1955 sekiranya didapati memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau memotong gaji kerana menghentikan operasi sementara (shutdown).
Demikian tegas Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong susulan wujud dakwaan pekerja di sektor perkilangan diminta menggunakan cuti tahunan atas alasan kilang tersebut tidak beroperasi.
Menurut beliau, jika ia berlaku, pekerja boleh membuat aduan berkenaan isu tersebut kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk tindakan lanjut.
“Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya memaksa pekerja untuk mengambil cuti tahunan serta memotong gaji mereka jika operasi syarikat dihentikan buat sementara waktu (shutdown).
“Sekiranya kita dapati ada majikan gagal mematuhi peraturan ditetapkan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pekerja 1955,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Steven Sim, majikan juga boleh merujuk JTK untuk mendapatkan nasihat serta panduan sebelum melaksanakan dasar-dasar terbabit.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang selepas memegang portfolio Menteri Sumber Manusia.
Hadir sama Pengerusi Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Pada majlis sama, seramai 10 pencarum PERKESO menerima pelbagai faedah antaranya hilang upaya kekal serta pencen ilat. – MalaysiaGazette
company Saya shutdown satu Hari under tnb service boleh kah potong Cuti pekerja