KUALA LUMPUR – Syarikat di Malaysia terus menjangkakan kenaikan gaji keseluruhan sebanyak 5.0 peratus pada 2024 untuk eksekutif, pengurusan dan pekerja profesional serta kakitangan sokongan, menurut satu tinjauan.
Kaji selidik mengenai pampasan yang dilakukan oleh syarikat penasihat global, broker dan penyelesaian, WTW berkata walaupun unjuran kenaikan gaji tahun ini adalah lebih rendah sedikit daripada 5.6 peratus pada 2023, purata kenaikan gaji terus meningkat dengan stabil dalam sejak beberapa tahun lepas.
Lebih daripada 600 syarikat menyertai Kaji Selidik mengenai Jumlah Pampasan di Malaysia yang dijalankan pada Oktober 2023.
Trend yang sama dilihat dalam pelbagai industri di negara ini tahun ini, tekanan dan kebimbangan terhadap pasaran buruh dan inflasi terus menjadi faktor yang memberi kesan, kata WTW dalam satu kenyataan.
“Walaupun inflasi menurun daripada paras tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran buruh Malaysia sedang mengalami perubahan,” kata Ketua Bahagian Pekerja dan Ganjaran WTW bagi Asia Tenggara dan Malaysia, Tan Juan Jim.
Penambahan dan pengurangan secara sukarela mencapai paras tertinggi 18.5 peratus pada 2023 berbanding 16.5 peratus pada 2022 dan trend itu kelihatan akan berterusan pada 2024, katanya.
Tan menambah, majikan di Malaysia akan terus menghadapi cabaran bakat (pekerja berkemahiran) yang ketara termasuk usaha menarik dan mengekalkan bakat penting.
Mereka perlu mengimbangi keseluruhan pakej ganjaran, melibatkan kewangan dan bukan kewangan untuk kekal berdaya saing dan sejajar dengan keperluan dan kehendak pekerja, katanya.
Tinjauan WTW itu mendapati, milenium (individu yang lahir antara tahun 1981 dan 1996) dan Gen Z (individu lahir antara tahun 1997 dan 2012) akan membentuk lebih daripada 70 peratus tenaga kerja menjelang 2025. Industri seperti perbankan, insurans, teknologi, media dan permainan serta perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar mengambil lebih ramai milenium dan Gen Z tahun lepas .
Ia berkata, tenaga kerja Gen Z di Malaysia meningkat 50 peratus tahun ke tahun, peratusan itu adalah daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja sejak tahun 2020.
WTW menjangkakan golongan milenium dan Gen Z membentuk lebih 70 peratus tenaga kerja menjelang 2025.
Tan berkata, pekerja mempunyai pilihan dalam ekonomi gig dan ‘passion economy’ (ekonomi bertunjangkan kepada minat) yang ditubuhkan dengan tujuan memberi pilihan alternatif untuk menjana pendapatan.
“Keterjaminan pekerjaan tidak lagi menjadi fokus utama tetapi memahami kumpulan pekerja Gen Z yang baru muncul menjadi penting. Organisasi yang menyediakan fleksibiliti kerja yang lebih besar termasuk menawarkan pilihan kerja jarak jauh, di pejabat atau hibrid akan menarik dan mengekalkan lebih ramai bakat.
“Trend bekerja ini menawarkan Gen Z lebih banyak pilihan untuk mempunyai pelbagai kerja sampingan dan pada masa sama mengekalkan pekerjaan ekonomi tradisional mereka,” katanya. – BERNAMA