Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah ketika sesi sidang media pada Majlis Perlupusan Barang Kes di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JANUARI 2024.

MANJUNG – Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan dua rangka manusia di atas bumbung sebuah syarikat di Sitiawan, dekat sini pada Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata,  pihaknya tidak dapat mendedahkan maklumat secara terperinci berhubung perkembangan kes berkenaan.

“Setakat ini seramai enam saksi awam telah dipanggil untuk dirakam percakapan. Semua mereka dipanggil bagi membantu siastan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelupusan Barangan Kes Bahagian Siasatan Jenayah Siri 1/2024 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, pada Selasa.

Difahamkan dua rangka manusia tanpa jantina dan identiti itu merupakan warga asing selain dipercayai mereka telah meninggal dunia lebih dari tempoh dua tahun, berdasarkan kepada tahap kereputan tulang yang terlalu rapuh.

Pada 16 Oktober lalu, Sitiawan digemparkan dengan penemuan dua rangka manusia diatas bumbung sebuah bangunan bersebelahan dengan sebuah bank.

Mohamed Nordin dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan penemuan itu pada jam 10.20 pagi.

Hasil pemeriksaan di lokasi pihak polis menemukan dua rangka manusia itu, serta sehelai bendera Perak, beberapa potongan pita pelekat berwarna hitam, cebisan kain bercorak warna-warni dan cebisan kain bendera Perak.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette