Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR: Tiga individu akan dipanggil polis bagi membantu siasatan mengenai kenyataan berkisar Langkah Dubai yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka ialah blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo dan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.

Turut dipanggil dalam masa terdekat ialah pempengaruh media sosial, Salim Iskandar selepas polis menerima 43 laporan seluruh negara membabitkan perkara itu.

Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun keseksaan, Seksyen 505(b) kanun sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, suspek utama yang mencetuskan kegusaran awam itu ialah penulis blog, Raja Petra Kamarudin.

“Suspek ialah Raja Petra yang berpangkalan di luar negara. Beliau bercakap mengenai kejatuhan kerajaan selama lebih 10 hari. Kita mungkin tidak akan mendapatkan Raja Petra sebab beliau tinggal di luar negara tetapi kita boleh memanggil mereka yang lain iaitu Papagomo, Chegubard, dan Salim Iskandar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Jelas beliau, tindakan Raja Petra yang kerap mengulangi kenyataan itu sama sekali tidak berasas kerana dakwaan sedemikian boleh dibuktikan di Parlimen jika ia benar.

“Beliau kerap ulang persepsi sama. Mujur rakyat Malaysia sangat matang kerana mereka tidak terpengaruh untuk mengadakan rusuhan. Perkara ini saya harus puji di samping polis turut mengambil langkah waspada,” ujarnya.

Semalam, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis agar siasatan dibuat terhadap gerakan ‘Langkah Dubai’ bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu berkata, ia bagi menamatkan spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan rakyat serta memberi kesan kepada keyakinan pelabur.

Kelmarin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai jumlah Akuan Bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette