KUANTAN – Dakwaan dibuat oleh pihak tertentu kononnya Kerajaan Pahang mengabaikan gerakan koperasi di negeri ini adalah tidak benar, kata Menteri Besar pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, setakat ini kerajaan negeri juga tidak pernah menerima apa-apa aduan mengenai koperasi yang bermasalah di negeri ini.
“Dakwaan itu tidak betul dan ini biasalah ada pihak tertentu yang cuba memainkan persepsi mengenai kerajaan negeri,” katanya.
Sebaliknya beliau meminta mana-mana koperasi di negeri ini yang mempunyai masalah untuk tampil bagi mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri.
“Kita ada Exco yang menjaga koperasi sorang dan koperasi ini ada lembaga pengarah dia sendiri.
”Kalau mereka ada apa-apa masalah, boleh jumpa kerajaan negeri untuk dibantu,” katanya.
Wan Rosdy berkata ketika ditemui media sejurus Majlis Perjumpaan Menteri Besar Pahang Bersama Penjawat Awam Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, hari ini.
Portfolio berkaitan koperasi di bawah Exco Felda, Koperasi Dan Usahawan Negeri Pahang Ir Razali Kassim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah.
Untuk rekod kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi merancakkan gerakan koperasi di Pahang pada 23 Jun tahun lalu.
Peruntukan itu dibahagikan kepada dua bahagian di mana RM300,000 adalah untuk tujuan promosi manakala RM700,000 bagi tujuan pembangunan.
Terdapat lebih 1,000 berdaftar di negeri ini dengan lebih 300,000 ahli koperasi berdasarkan rekod Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang.
Tahun lalu, koperasi di negeri ini merekodkan perolehan sebanyak RM860.53 juta, kedua tertinggi selepas selepas Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette