Faiz Rahmad
Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad bercakap kepada media di luar pekarangan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 10 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berharap pihak berkuasa tidak bersikap selektif dalam menjalankan siasatan terhadap sesiapa sahaja yang menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R).

Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pihak terbabit termasuk media yang dilihat prokerajaan.

Menurut beliau, Armada mahu tindakan tegas diambil bagi membuktikan kerajaan bersikap adil serta mengangkat kedaulatan institusi perlembagaan.

“Tak kisahlah siapa yang buat, kalau media itu prokerajaan, tangkaplah. Kita nak tengok tindakan,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Setiausaha Sulit Ketua Pembangkang, Ahmad Ikhwan Fadhli membuat laporan di Balai Polis Jalan Dang Wang, di sini, berhubung artikel sebuah portal yang didakwa memfitnah Datuk Seri Hamzah Zainudin cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perkembangan berkaitan, Faiz memberitahu, Armada akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat fitnah tersebut.

Beliau juga meminta agar semua pihak menghentikan penyebaran fitnah terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hamzah.

“Langkah Cameron, Langkah Sabahlah, kalau betul berdinding, beratap konkrit apa nak risau?” katanya. – MalaysiaGazette