KUALA LUMPUR – Sempena Hari Tindakan Global, Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia akan berhimpun di kawasan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi mengesa secara konsisten gencatan senjata terhadap Palestin.

Sekretariat gerakan tersebut berkata, himpunan akan diketuai oleh gerakan berkenaan dan disokong oleh 33 badan bukan kerajaan (NGO) selain wakil daripada parti politik.

Jelasnya, ia langkah untuk mengisytiharkan kebencian terhadap AS yang bersekongkol dengan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Sebagai isyarat simbolik untuk menyuarakan bukan sahaja seruan bersama untuk gencatan senjata, tetapi juga sebagai cara untuk mengisytiharkan kebencian kami secara terbuka tentang persekongkolan Amerika Syarikat.

“Mereka membantu dan bersubahat dengan genosid yang berterusan ini,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Untuk rekod, 13 Januari menandakan selama 75 tahun dan 99 hari pendudukan haram Israel dam genosid sistemik ke atas rakyat Palestin.

Dilaporkan serangan terbaharu Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih 23,000 rakyat Palestin majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Data dari Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kerajaan Palestin sehingga 9 Januari lalu, serangan zionis telah merosakkan 370 kemudahan pendidikan, menjadikan 30 daripada 35 hospital tidak lagi berfungsi.

Selain itu sebanyak221 tempat ibadat antaranya, gereja – gereja tertua di dunia.

Sehubungan itu, gerakan berkenaan mengajak rakyat Malaysia bersolidariti bersama-sama pada Sabtu ini agar dapat memberikan tekanan terhadap Israel.-MalaysiaGazette