Majlis keselamatan PBB

NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menerima pakai resolusi yang mengutuk dan menuntut kumpulan pejuang Houthi Yaman memberhentikan serta-merta serangan ke atas kapal yang melalui Laut Merah.

Draf resolusi tersebut dikemukakan oleh AS dan Jepun dengan undian 11 negara menyokong, sifar menentang dan empat berkecuali termasuk Rusia.

Resolusi itu mengutuk sekeras-kerasnya berpuluh serangan Houthi ke atas kapal dagang dan komersial dilaluan perdagangan utama sejak 19 November 2023.

UNSC menuntut agar Houthi segera menghentikan semua serangan yang menghalang perdagangan global dan menjejaskan hak dan kebebasan pelayaran.

Resolusi itu juga menuntut agar Houthi segera melepaskan Galaxy Leader sebuah kapal kargo kendalian Jepun yang mempunyai hubungan dengan syarikat Israel dan anak kapalnya.

UNSC juga meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyediakan laporan bulanan bertulis hingga 1 Julai kepada Majlis Keselamatan mengenai sebarang serangan Houthi ke atas kapal dagang dan komersial di Laut Merah.

Pejuang Houthi yang bersimpati dengan rakyat Palestin yang berhadapan dengan serangan dan pembunuhan tentera Istael telah menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan regim zionis itu di selatan Laut Merah.

Mereka berkata serangan itu adalah untuk menyokong rakyat Palestin ketika mereka menghadapi “pencerobohan dan pengepungan” Israel di Gaza.

Laut Merah adalah salah satu laluan laut yang paling kerap digunakan di dunia untuk penghantaran minyak dan bahan api.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast