KUALA LUMPUR – Kementerian Komunuikasi diminta membuat keputusan mengenai permohonan Datuk Seri Najib untuk menurunkan dan melarang tayangan dokumentari ‘Man on the Run’ menerusi perkhidmatan penstriman Netflix.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah bidang kuasa kementerian itu selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghantar surat kepada Menteri Komunuikasi, Fahmi Fadzil mengenai perkara tersebut.
“Itu (permohonan Datuk Seri Najib) mereka (Kementerian Komunikasi) akan pertimbangkan,” katanya yang ditanya media berhubung permohonan bekas Perdana Menteri itu melarang dan menurunkan dokumentari ‘Man on the run’.
Pada Isnin lalu, Muhammad Shafee menghantar surat kepada Fahmi memohon supaya menurunkan dan melarang tayangan dokumentari tersebut.
Peguam itu berkata, ini kerana pihak yang diwawancara dalam dokumentari itu menyatakan pelbagai perkara terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan yang antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah.
Malah beliau berkata pernyataan terhadap anak guamnya itu belum dan tidak pernah dibuktikan sama ada melalui keterangan dokumentari atau lisan saksi yang dikemukakan dalam mana-mana perbicaraan, termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
‘Man on the Run’ mula ditayangkan di Netflix ialah dokumentari yang diarahkan, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim, berkisar mengenai skandal 1MDB yang ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober tahun lalu.
Ia turut memaparkan temu bual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Kelmarin, Fahmi mengesahkan belum menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung permohonan untuk menghalang tayangan dokumentari berkenaan. – MalaysiaGazette