KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mengakui bingung selepas menonton dokumentari Man On The Run di Netflix.
Beliau pelik bagaimana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk ditemubual dalam dokumentari tersebut pada awalnya.
“Mengapa Najib Razak bersetuju untuk mengambil bahagian dalam filem ini yang merupakan satu pengakuan bahawa skandal 1MDB adalah salah satu skandal yang terbesar dan terburuk sejak yang dinamakan oleh Transparency International sebagai salah satu dari “25 skandal rasuah yang menggegarkan dunia” pada tahun 2019.
“Dan Peguam Negara Amerika Syarikat telah mengatakannya sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk?” soal bekas Ahli Parlimen iskandar Puteri itu.
Semalam, pasukan peguam Najib menghantar surat kepada Menteri Komunuikasi, Ahmad Fahmi Fadzil memohon tindakan untuk menurunkan dan melarang tayangan dokumentari berkenaan.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberi alasan terdapat komen menghina mahkamah kerana perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.27 bilion terhadap bekas perdana menteri itu sedang berjalan.
Malah Muhammad Shafee juga berkata, dokumentari memuatkan pandangan fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah.
Dalam pada itu, Kit Siang mendakwa, dalam dokumentari tersebut, Najib didapati mengaku 1MDB adalah skandal rasuah terbesar.
[…yang merupakan satu pengakuan bahawa skandal 1MDB adalah salah satu skandal rasuah terbesar di dunia – buat pertama kali Najib membuat satu pengakuan sebegini,” kata Kit Siang.
Dalam temubual dengan pengarah dan penerbit eksekutif, Cassius Michael Kim, Najib didapati berkata beliau telah gagal dalam mempercayai orang yang salah berkaitan isu 1MDB. – MalaysiaGazette