Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan watikah perlantikan kepada kepada seorang hakim wanita di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah, Nor Hadina Ahmad Zabidi. foto PEJABAT MENTERI BESAR PERAK.

IPOH – Negeri Perak mengukir sejarah baru apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan pelantikan kepada seorang hakim wanita di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah, Nor Hadina Ahmad Zabidi.

Sultan Nazrin bertitah, Kaedah-kaedah Peguam Syarie Perak (2003) mensyaratkan seseorang yang berhasrat menjadi pengamal peguam syarie di negeri negeri ini, perlu menjalani peperiksaan atau temu duga, di samping memiliki kelayakan akademik yang diiktiraf.

“Menyahut titah nasihat Beta, bermula 18 Oktober lalu, Jawatankuasa Penerimaan Peguam Syarie telah memperakukan tatacara penerimaan peguam syarie menurut Seksyen 69 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

“Ia membolehkan mana-mana orang yang berkelayakan, yang telah memiliki sijil amalan guaman syarie di mana-mana negeri, diterima untuk beramal di Perak tanpa lagi perlu melalui ujian dan temu duga.

“Kini, mereka hanya perlu mengemukakan permohonan kepada jawatankuasa berkaitan untuk diperakukan boleh beramal sebagai peguam syarie di Negeri Perak,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah lagi, langkah itu akan memudahkan hasrat para peguam syarie yang mahu melakukan amalan guaman di Perak, di samping memberikan manfaat kepada anak guaman mempunyai pilihan mendapatkan khidmat guaman syarie yang lebih luas.

“Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), begitu juga para hakim yang dikurniakan watikah lantikan telah diamanahkan dengan tanggungjawab. Junjunglah amanah dan sempurnakan tanggungjawab ini sebaik-baiknya,” titah Sultan Perak lagi.

Terdahulu baginda bertitah ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota MAIPk, dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri di Kompleks Islam Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Pada majlis berkenaan, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan watikah pelantikan anggota MAIPk bagi penggal tahun 2024 hingga 2025 kepada 28 individu yang diketuai Yang Dipertua, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Turut menerima watikah pelantikan sama adalah, Menteri Besar Perak,Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh; serta Presiden Majlis Belia Perak, Muhammad Puhaz Saleh.

Selain itu, baginda juga memperkenankan pengurniaan watikah pelantikan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak kepada lapan individu yang diketuai Hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri, Datuk Mohd Amaran Mat Zain, Pengerusi Mahkamah Rayuan Syariah Negeri, Mohamad Taifor Ahmad Rusdi serta enam Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri yang lain. – MalaysiaGazette