Antonio Guterres

GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa negara-negara yang melindungi kapal mereka daripada serangan Houthi di Laut Merah supaya mematuhi undang-undang antarabangsa selepas serangan besar-besaran oleh Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) ke atas kumpulan itu.

Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres berkata, negara-negara terbabit perlu mematuhi Resolusi (2722).

“Setiausaha Agung menyeru semua pihak yang terlibat supaya tidak memburukkan lagi keadaan demi kepentingan keamanan dan kestabilan di Laut Merah dan wilayah yang lebih luas,” kata Stephane Dujarric yang mewakili Guterres.

Kenyataannya dibuat sehari selepas AS dan UK, dengan sokongan Australia, Bahrain, Kanada, dan Belanda, melakukan serangan terhadap sasaran tentera di kawasan yang dikuasai Houthi di Yaman.

Guterres menyatakan resolusi Majlis Keselamatan PBB 2722, mengutuk dan menuntut dihentikan serta-merta serangan oleh Houthi ke atas kapal-kapal di Laut Merah, “mesti dihormati sepenuhnya,” kata Dujarric, sambil menambah serangan terhadap perkapalan antarabangsa di kawasan Laut Merah “tidak boleh diterima.”

“Setiausaha Agung menekankan keperluan untuk mengelak tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan di Yaman sendiri,” ujarnya.

Guterres juga menyeru setiap usaha dilakukan untuk memastikan Yaman meneruskan jalan ke arah keamanan dalam Yaman. – Agensi