Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto MUHD NA’IM, 03 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar satu rang undang-undang (RUU) khusus dibentang untuk menghalang sesebuah gabungan ataupun parti dominan yang membentuk kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal, adalah satu tindakan terdesak.

Malah Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan Presiden UMNO itu juga adalah tidak masuk akal.

“Pas tertanya-tanya apakah faktor yang mendorong seorang pemimpin kanan dan veteran seperti Zahid membuat cadangan yang begitu novis, terutama sekali selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali mendakwa bahawa kerajaan pimpinannya mendapat sokongan lebih dua pertiga di Parlimen?

“Adakah Zahid tidak yakin dengan dakwaan itu atau apakah beliau begitu terdesak untuk kekal berkuasa sehingga bersedia untuk membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi sama seperti yang dilakukannya bagi mempertahankan kedudukan sebagai Presiden UMNO walaupun berlawanan dengan keputusan majoriti ahli dan akar umbi parti tersebut?, soal Takiyuddin.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengeluarkan kenyataan bagi mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang mencadangkan satu undang-undang perlu digubal bagi membolehkan kerajaan yang mentadbir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dapat dikekalkan sehingga satu penggal berakhir.

Malah Ahmad Zahid berkata, undang-undang tersebut perlu diwujudkan bagi mengelakkan kesengsaraan rakyat berulang sebagaimana berlaku pada PRU-15, yang mana terdapat tiga Perdana Menteri di dalam satu penggal.

Takiyuddin berkata cadangan Timbalan Perdana Menteri itu juga dilihat canggung kerana ia tidak selari dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Perlembagaan adalah sangat jelas dalam hal ini dan telah dimaklumi semua bahawa syarat sokongan majoriti ini menjadi asas pembentukan sebuah kerajaan secara sah sama ada susulan PRU atau pada bila-bila masa lain.

“Ia juga merupakan syarat asasi bagi memperoleh perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik menurut budi bicara Baginda seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan,” kata Takiyuddin lagi.

Ahmad Zahid berkata RUU berkenaan perlu dirangka bagi menghalang sebuah kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal pentadbiran. – MalaysiaGazette