ATHENS – Seorang Ahli Parlimen di Perancis, Aymeric Caron mendakwa beliau menerima ugutan semalam kerana mengecam keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di Gaza.
Memetik laporan Anadolu Agency, pemimpin parti REV itu turut mendedahkan, dua akhbar utama di Perancis enggan menyiarkan tulisannya yang menggesa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menyekat Israel daripada menyertai temasya Olimpik di Paris musim panas ini.
“Saya berterusan dihina dan diugut kerana mengecam pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan menggesa gencatan senjata dikuatkuasakan,” katanya melalui X.
Beliau berpandangan, sudah tiba masanya bagi diplomat dan media Perancis menerima pandangan yang selari dengan keadilan dan kedamaian global.
“Sikap mereka yang berdiam diri dan berat sebelah tidak memberi sebarang kebaikan,” jelasnya.
Caron yang merupakan seorang bekas wartawan lantang bersuara mengutuk keganasan rejim Zionis Israel di Gaza yang setakat ini telah mengorbankan hampir 25,000 nyawa. – Agensi