KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan program pemukiman anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan selama dua hari bermula hari ini.
Menurut Jabatan Perdana Menteri, pemukiman tersebut dibuat bagi menyampaikan mandat kepada semua anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam tentang hala tuju dan strategi kerajaan bagi tahun 2024 serta bagi jangka masa sederhana dan panjang.
“Di samping itu, program juga bertujuan bagi mencapai penjajaran matlamat serta mewujudkan rasa kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri terhadap pelan tindakan kerajaan yang bersepadu dan tuntas berteraskan konsep whole of government dan whole of nation,” kata JPM dalam satu kenyataan.
Pemukiman itu dihadiri 31 anggota Kabinet dan 15 jemputan khas itu berlangsung di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya.
Selain itu, program permukiman kali ini juga memantapkan sinergi dan kerjasama antara jemaah Menteri bersama kepimpinan perkhidmatan awam serta memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan tersebut merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI.
Program berkenaan turut membawa beberapa sesi wacana dan forum yang melibatkan pakar-pakar dari sektor awam, sektor swasta, industri dan organisasi antarabangsa.
Perkara-perkara yang dibincangkan mencakupi aspek-aspek penting termask cabaran dan hala tuju ekonomi, kebajikan dan keselamatan sosial, pembangunan infrastruktur dan kemampanan, tadbir urus, inovasi dan komunikasi ke arah kemakmuran negara. – MalaysiaGazette