ringgit malaysia
Mata wang Malaysia

KUALA LUMPUR – Langkah-langkah kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dan pengukuhan fiskal akan mengukuhkan lagi asas makroekonomi Malaysia, kata Manulife Investment Management (Manulife IM).

Pengurus portfolio kanan bahagian ekuitinya Kenglin Tan berkata, walaupun ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara paras 4.0 dan 5.0 peratus pada 2024, satu daripada langkah-langkah utama yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura untuk menubuhkan Zon Ekonomi Khas (SEZ).

“Kerajaan juga berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dengan mengambil pendekatan mesra perniagaan dan mesra pelabur.

“Pengecualian cukai keuntungan modal (CGT) ke atas unit amanah baru-baru ini merupakan satu lagi bukti amalan pendekatan mesra pasaran modal oleh kerajaan,” katanya pada taklimat media prospek pelaburan Manulife IM 2024, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan bersetuju untuk mengecualikan cukai pendapatan sumber asing berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2024 hingga 31 Dis 2026 manakala pengecualian CGT berkuat kuasa 1 Jan 2024 hingga 31 Dis, 2028.

Di samping itu, pelaksanaan subsidi bersasar atau bantuan sosial menunjukkan bahawa Malaysia berazam untuk mengukuhkan kedudukan fiskal terbesarnya dan pada masa yang sama memacu pertumbuhan ekonomi.

“Pasaran ekuiti Malaysia bermula kukuh setakat ini pada tahun ini dan kita sudah melihat aktiviti rancak dalam sektor pembinaan dan hartanah. Harapnya, apabila ini berterusan dan aktiviti semakin meningkat, ia bakal memberi petanda yang baik untuk ekonomi secara keseluruhan.

“Selain itu, kita mempunyai banyak saham yang kurang nilai dalam pasaran ekuiti dan ia sepatutnya menular ke sektor lain seperti sektor kewangan serta sektor perindustrian,” kata Tan.

Sementara itu, ketua pegawai pelaburan, pendapatan tetap Asia (kecuali Jepun), Murray Collis berkata, Manulife IM melihat potensi ringgit kembali stabil pada 2024.

“Ini dipacu oleh dua faktor. Pertamanya, jangkaan penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan keduanya, kami menjangka melihat peningkatan, terutamanya dalam akaun semasa Malaysia.

“Pada 2023, lebihan akaun semasa terjejas oleh eksport komoditi rendah tetapi ia dijangka meningkat tahun ini daripada peningkatan pelancongan dan pengumuman pengecualian visa bagi pengembara China dan India,” katanya.

Bagaimanapun, Collis berkata Manulife IM berpandangan neutral terhadap pasaran bon Malaysia kerana tidak begitu menarik berbanding beberapa pasaran hasil tinggi di rantau ini.  – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast