Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza yang diadakan pada 9 Mac ini di Axiata Arena Bukit Jalil. Foto SYADILA AMARI, 8 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza menerima baik nasihat Mufti Pulau Pinang  mengenai konsert solonya pada 9 Mac ini.

Dalam satu kenyataan, penganjur konsert berkenaan, Yayasan Nurjiwa menerima gesaan dan teguran Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

“Pertama sekali, Yayasan Nurjiwa dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran Sahibus Samahah Datuk Seri Mufti.

“Keprihatinan serta pandangan Datuk Seri amat-amat kami hormati dan hargai,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun Yayasan Nurjiwa menegaskan konsert berkenaan terpaksa diteruskan kerana ia bertujuan mengumpul dana bagi disalurkan kepada aktiviti amal termasuk bantuan kepada masyarakat Palestin.

Dalam pada itu, Yayasan Nurjiwa juga menyatakan kebimbangan sekiranya konsert tersebut ditunda ia bakal memberi implikasi kepada tenaga produksi serta pengurusan Perbadanan Stadium Nasional Bukit Jalil dan bantuan amal yang dirancang.

Tambah Siti atau lebih mesra disapa sebagai Tok Ti, alasan lain menyukarkan untuk menangguhkan konsert adalah faktor ketiadaan tarikh ganti yang sesuai.

Sejak mula diberikan tarikh penganjuran konsert oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional, Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza sedia maklum tarikh 9 Mac 2024 menghampiri 1 Ramadan.

“Kami di Yayasan Nurjiwa diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan.

“Untuk pengetahuan semua, kami sudah mula membuat tempahan dengan Perbadanan Stadium Nasional sejak awal 2023 lagi, namun tarikh yang sepatutnya tidak dapat dilaksanakan. Kami mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu,” katanya.

Sebelum itu, Mufti Pulau Pinang menasihatkan Siti Nurhaliza menunda Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini kepada satu tarikh lain.

Menurutnya, mengadakan aktiviti hiburan menjelang bulan Ramadan seolah-olah melalaikan umat Islam daripada mengingati Allah. – MalaysiaGazette