Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang yang menolak permohonan seorang ibu warga Orang Asli yang memeluk agama Islam untuk mengetepikan perintah habeas corpus.

Wanita itu memohon untuk mengetepikan perintah habeas corpus agar menyerahkan anak perempuan berusia 10 tahun kepada bapa kandungnya yang bukan beragama Islam.

Dalam keputusan hari ini, tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara bersetuju dengan Mahkamah Tinggi Kuantan yang membenarkan permohonan habeas corpus bekas suaminya pada 25 Mei 2023.

Keputusan itu juga dibuat memandangkan kanak-kanak itu sudah dipelihara oleh bapanya selama empat tahun sebelum diambil ibunya.

Kata hakim, adalah tidak betul untuk mengambil kanak-kanak perempuan itu tanpa perintah hak penjagaan dan mahkamah sebelum ini tidak terkhilaf dalam memberikan permohonan habeas corpus kepada pemohon sebelum ini.

Sebelum ini, wanita itu yang kini sudah berkahwin lain dan memeluk Islam membuat laporan polis bahawa bekas suaminya yang menjaga anak mereka pada 2018 telah mengabaikan kanak-kanak itu.

Dalam pada itu panel itu bersetuju dengan pendirian Mahkamah Tinggi Kuantan yang telah mengeluarkan perintah ‘gag order’ supaya tidak mendedahkan nama, gambar tiga beranak itu berhubung kes hak penjagaan itu.

Mahkamah juga menetapkan keputusan ini tidak akan memberi kesan kepada prosiding hak penjagaan yang masih didengar di Mahkamah Tinggi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast