Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau sendiri mercu tanda Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) di Lanchang, Temerloh hari ini

TEMERLOH – Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) yang terletak di Lanchang di sini boleh dijadikan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan di Pahang.

Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia merupakan mercu tanda bersifat ilmiah yang boleh dijadikan rujukan semua rakyat di negara ini.

“It is educational landmark yang semua rakyat kena tahu di mana titik tengah Semenanjung memang berada di sini dan secara tidak langsung sama seperti di United Kingdom iaitu Greenwich Mean Time (GMT) London yang juga is a part of education,” titahnya.

Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Seri Baginda bertitah pembinaannya secara tidak langsung turut berpotensi menarik lebih ramai pelancong ke Temerloh yang juga terkenal dengan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah dan Deerland Lanchang.

“Datanglah ke sini menikmati kecantikan pemandangan. Ada bukit di belakang, ada kolam.. harap ada ikan nanti,” titahnya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Al Sultan Abdullah turut berkenan meluangkan masa hampir sejam meninjau sendiri lokasi mercu tanda ikonik itu selepas menyempurnakan majlis perasmiannya di Kampung Paya Siput, Lanchang di sini petang tadi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bergambar di mercu tanda Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) bersama barisan kepimpinan negeri.

Sebagai rekod, pembangunan TTTS mula dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada tahun 2018 dan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) setelah siap setahun kemudian.

Ia dibina berhampiran monumen yang dibina Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk menandakan sifar darjah (zero degree) atau dengan kata lain, Titik Tengah Semenanjung Malaysia.

Pembinaannya turut merangkumi plaza komersial, tandas, wakaf, surau, tempat persinggahan bas pelancong, kawasan rekreasi dan taman permainan kanak-kanak.

Monumen ikonik itu juga menerapkan seni bina simbolik yang melambangkan Rukun Iman dan Rukun Islam dalam pembangunannya.

Tapaknya juga dilengkapi penunjuk arah kiblat dan memaparkan jarak ibu negeri bagi negeri-negeri di Malaysia dari Titik Tengah Semenanjung. – MalaysiaGazette