KUALA LUMPUR – Sambungan perbicaraan kes pecah amanah bernilai lebih RM4.36 juta melibatkan seorang perunding syarikat, dijangka menampilkan 11 saksi daripada pihak pendakwaan.

Perbicaraan yang bersambung selama dua hari bermula 18 hingga 19 Julai ini akan menampilkan saksi pertama, bagaimanapun butiran terperinci belum diketahui setakat ini

Sebelum ini, tertuduh Johnathan Wong Futt Po, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM4,362,943.73 milik Syarikat Novel Leap Sdn Bhd untuk kepentingan sendiri.

Mengikut pertuduhan, perunding syarikat itu melakukan perbuatan tersebut di Menara Presitige Jalan Pinang, di sini, April tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan dikenakan denda.

Terdahulu Johnathan diwakili peguamnya, Siti Anis Che Ab Wahab dalam prosiding pengurusan kes itu, hari ini.

Selain itu, Johnanthan turut berdepan pertuduhan menipu individu melibatkan pelaburan mata wang kripto berjumlah RM2.45 juta yang tidak wujud.

Dia juga berdepan dakwaan menipu seorang lelaki berhubung urusan mendapatkan lesen pelaburan membabitkan kerugian berjumlah RM3 juta. – MalaysiaGazette