Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup daging babi dan lembu sejuk beku seberat 165.8 tan dari luar negara berjaya dipatahkan menerusi tiga serbuan Ops Beku di tiga lokasi sekitar Lembah Klang.

Operasi berkenana dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bermula 27 Disember hingga 17 Januari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, secara keseluruhan pihaknya berjaya merampas daging beku yang dianggarkan bernilai mencecah RM2.65 juta.

Menurutnya, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan membuat pengikraran palsu pada borang kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa semasa menggunakan kemudahan pemindahan barang transit yang disediakan.

“Serbuan pertama pada 27 Disember pukul 11 pagi oleh JKDM Zon Tengah Unit 1 (WPKL) menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan sejuk beku disyaki keratan daging babi melalui dua kontena dari negara jiran di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan menemui muatan makanan beku tidak berkastam seberat 56,000 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM840,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norlela berkata, dalam serbuan kedua, JKDM merampas 24,300 kg daging lembu sejuk beku disyaki tidak berkastam kerana tidak memiliki lesen import dan cuba diseludup menggunakan sebuah kontena yang menuju ke selatan tanah air dari Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Ujarnya, serbuan ketiga mencatatkan rampasan terbesar membabitkan 85,500 kg daging babi sejuk beku ditemui di dalam tiga kontena dianggarkan bernilai RM 1.54 juta menerusi serbuan ke atas sebuah gudang di Jalan Sungai Lalang, Semenyih.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga kontena sejuk bersama dua pekerja warga Myanmar yang ditahan menemukan barang dagangan disyaki daging babi sejuk beku tidak berkastam,” ujarnya.

Pengimportan komoditi sejuk beku adalah tertakluk pada Butiran 1(1) Jadual Ketiga Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang memerlukan permit import dengan kelulusan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Veterinar (DVS).

Katanya lagi, kesemua pengimport terbabit membuat ikrar palsu atau mengelirukan pada borang kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Jelas beliau, sindiket terbabit tidak memiliki permit import dan menyalahgunakan kemudahan Pemindahan Barang Dalam Transit melalui mod darat yang disediakan JKDM.

“Kes-kes terbabit disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu di bawah Seksyen 135 (1)(d) kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000 yang mana nilai lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang sepuluh (10) kali amaun duti kastam atau RM 100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh (20) kali nilai barang atau RM 500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast