Antara produk SK-II

OHIO – Jualan jenama penjagaan kulit mewah SK-II turun 34% antara Oktober dan Disember, kata Procter & Gamble.

Selain pemulihan perlahan China, eksekutif firma itu mendakwa kejatuhan jualan produk itu disebabkan sentimen anti-Jepun.

Tahun lepas, Jepun mula melepaskan air radioaktif terawat daripada loji kuasa nuklear Fukushima yang dilanda tsunami besar pada 2011 ke Laut Pasifik.

China menentang langkah itu dan mengharamkan semua import makanan laut dari Jepun, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi jaminan keselamatannya.

Para saintis juga sebahagian besarnya bersetuju impak air terawat terhadap alam sekitar sangat sedikit tetapi kerana maklumat yang salah mencetuskan ketakutan dan syak wasangka oleh China.

Situasi itu dikatakan menyebabkan pengguna memboikot jenama Jepun, termasuk SK-II P&G.

Tetapi eksekutif P&G berkata, SK-II sudah pun melihat jualan berubah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Penyelidikan pengguna kami menunjukkan sentimen jenama SK-II bertambah baik, dan kami menjangkakan untuk melihat peningkatan berterusan,” kata Ketua Pegawai Kewangan P&G, Andre Schulten, dipetik sebagai berkata.

Ini bukan kali pertama SK-II atau jenama Jepun menghadapi boikot di China.

Pada 2012, gelombang protes anti-Jepun di seluruh China berhubung pertikaian wilayah menyebabkan pengeluaran kereta Jepun – Toyota, Honda dan Nissan terpaksa digantung selepas bilik pameran diserang.

Syarikat Jepun lain yang terjejas termasuk syarikat elektronik Sony, jenama fesyen Uniqlo dan kedai rangkaian beli-belah Aeon.

Ketua Pegawai Eksekutif P&G, Jon Moeller berkata, ketegangan sebelum ini turut menjejaskan jualan SK-II, tetapi jenama itu sentiasa bangkit semula.

Pendapatan keseluruhan syarikat bercampur-campur apabila firma itu mengurangkan ramalan keuntungan tahunannya disebabkan perniagaan Gillette.

Tetapi permintaan untuk produk kegunaan harian syarikat, terutamanya dalam segmen dandanan dan penjagaan rumah, kekal kukuh walaupun harganya tinggi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast