Suraya Murad bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

TEMERLOH – Meskipun sedih tanpa ibu dan ayah di sisi ketika sibuk melakukan persiapan terakhir sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, namun kata-kata semangat yang diberikan oleh Tok Wan mengubat rasa buat Suraya Murad, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lanchang, di Temerloh.

“Tok Wan pesan hidup mesti diteruskan dan kalau sayang pada mak dan ayah kena belajar bersungguh-sungguh,” ujar Suraya sayu ketika ditanya apa yang dikatakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepadanya.

Anak yatim piatu ini baru kehilangan ibunya pada bulan Ogos tahun lalu akibat pendarahan dalaman.

Suraya berkata, kehilangan ibu satu ujian besar buat dirinya selepas bapanya meninggal akibat sakit jantung ketika dia berusia enam tahun.

Suraya berkata, Wan Rosdy yang dipanggil Tok Wan adalah sahabat arwah ayahnya.

“Tok Wan (Wan Rosdy) ada, rasa alhamdulillah. Arwah ayah kawan dengan Tok Wan. Bila tengok Tok Wan teringat macam ayah ada bagi semangat,” katanya yang tidak dapat menahan rasa sayu bila melihat rakan-rakan bersama ibu bapa masing-masing.

Suraya berkata, pesan terakhir ibunya yang meminta dia belajar bersungguh-sungguh sentiasa menjadi kekuatannya dalam meneruskan perjuangan demi masa depan.

“Saya selalu ingat pesan mak, saya sedih tapi kena kuat,” ujarnya.

Terdahulu Wan Rosdy menyampaikan alat tulis kepada 70 calon SPM di sekolah berkenaan.

Anak bongsu tujuh beradik ini yang kini dibesarkan oleh abangnya, mensasarkan untuk mendapat 9 A pada SPM 2023 bagi membolehkan dia menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negeri ini.

 

Dari kiri; Muhammad Hazim Muhamad Zamri, Farisha Fazura Muhammad dan Fatin Athirah Abdul Jalil menunjukkan kit alat tulis yang diterima.

 

Dalam pada itu, seorang lagi calon SPM, Fatin Atirah Abdul Jalil pula rasa bertuah dengan kehadiran Wan Rosdy ke sekolah untuk memberi semangat kepadanya.

Kata Fatin, perkongsian pengalaman luar biasa menteri besar itu memberinya semangat untuk terus cemerlang.

”Saya bangga menjadi anak jati Pahang kerana mendapat bantuan, menteri besar menberi semangat kepada kami untuk mendpat 7A ke atas pada SPM nanti, kami sayang Tok Wan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pelajar, Muhammad Hazim Mohd Zamri juga menzahirkan rasa syukur kerana mendapat suntikan semangat oleh pemimpin Pahang, selain alat tulis yang akan digunakan semasa peperiksaan nanti.

”Saya amat berterima kasih kepada Tok Wan kerana memberikan alatan tulis. Saya suka subjek matematik dan Tok Wan beri jangka lukis, ia akan digunakan nanti,” katanya.

Rakannya, Farisha Fazura Muhammad pula berterima kasih kepada menteri besar itu kerana kesudiannya ke sekolah untuk memberi kata-kata semangat kepada calon-calon SPM.

“Terima kasih, Tok Wan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast